DENYUT NIAGA DAN BUDAYA SEMARAK DI KARNIVAL PMKS KENINGAU 2025

26 – 29 Jun – Keningau meriah hujung minggu lalu apabila ribuan pengunjung membanjiri Dataran Keningau sempena Karnival Usahawan PMKS Sabah Zon Keningau 2025. Acara ini turut diadakan bersama Crocker Range Festival Season 8, menampilkan gabungan elemen keusahawanan dan kebudayaan yang menghidupkan suasana serta memperlihatkan semangat komuniti luar bandar dalam menyokong ekonomi setempat.
 
Karnival ini menjadi medan penting bagi usahawan PMKS mempromosikan produk dan perkhidmatan, serta merapatkan hubungan antara peniaga, agensi kerajaan dan masyarakat. Ia menghimpunkan pelbagai pihak dari seluruh daerah pedalaman Sabah.
Kemuncak acara adalah pada 28 Jun dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh YB Datuk Ellron Alfred Angin, Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap ADUN Sook yang mewakili Ketua Menteri. Beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor PMKS sebagai nadi ekonomi luar bandar melalui pelbagai inisiatif di bawah Pelan Sabah Maju Jaya.
Turut hadir ialah YB Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, Pembantu Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan dan Encik Peter Jonu Moinjil, Pegawai Daerah Keningau yang meluangkan masa melawat reruai dan menyantuni para usahawan.
 
Sedcovest Holdings Sdn Bhd yang turut serta selaku salah satu rakan strategik program memanfaatkan peluang di karnival tersebut dengan mempromosikan Program Pensijilan Halal & MeSTI PMKS yang menawarkan geran konsultansi dan renovasi kepada syarikat PMKS Bumiputera Sabah yang layak. Ia sebagai sebahagian usaha pembangunan kapasiti produk Bumiputera khususnya bagi meningkatkan kebolehpasaran di arena tempatan dan ke luar Sabah. Penyertaan bersama SEDCO dan Perkasa Realty Sdn Bhd itu menampilkan 10 usahawan di bawah kumpulan SEDCO yang diberi peluang mempromosikan dan memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
 
Antara aktiviti pada program tersebut termasuklah sesi padanan perniagaan dengan pasar raya terkenal serta Program Jualan Rahmah dan Madani, yang membantu membuka ruang pasaran lebih luas bagi produk PMKS.
 
Karnival ini bukan sekadar acara tetapi simbol kerjasama, harapan dan masa depan ekonomi Sabah yang lebih mampan.