SVH TEROKA KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA KUSKOP
KOTA KINABALU, 24 Ogos 2026 – SEDCOVEST Holdings Sdn. Bhd. (SVH) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Haji Mohammad bin Alamin, bertempat di Pejabat TEKUN Nasional Negeri Sabah.
Delegasi turut disambut oleh Pengurus TEKUN Nasional Negeri Sabah, Encik Hemin Osumping dan Pengarah SME Corp. Malaysia Negeri Sabah, Encik Valentine Thomas.
Delegasi SVH diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Redonah Bahanda, bersama Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan), Tuan Haji Azrul Ahmad; Pengurus Besar SVH, Yahyah Sidek serta pegawai-pegawai kanan SEDCO dan SVH.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan hala tuju baharu SVH, di samping meneroka peluang kerjasama strategik yang dapat memberi manfaat kepada usahawan menerusi program pembangunan keusahawanan, penyediaan prasarana dan latihan peningkatan kapasiti.
Dalam pertemuan tersebut, YB Timbalan Menteri turut mengetengahkan pelbagai program yang berpotensi untuk dilaksanakan secara bersama, termasuk usaha meningkatkan skala dan daya saing usahawan SVH melalui kemudahan pembiayaan serta program sokongan yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.
SVH menyambut baik cadangan tersebut dan berharap kerjasama ini dapat diterjemahkan kepada inisiatif berimpak tinggi bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan serta membuka lebih banyak peluang pertumbuhan kepada usahawan di Sabah.