TAWAU, 19 MEI – Siri lawatan rasmi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. diteruskan ke Souq El-Mizan, Masjid Al-Kauthar Tawau sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti serta memperluaskan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, khususnya golongan belia dan perniagaan baharu (start-ups).
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Sedcovest, Datuk Redonah Bahanda bersama Pengurus Besar, Encik Yahyah Sidek, serta barisan pengurusan dan pegawai teknikal kumpulan SEDCO.
Souq El-Mizan adalah hasil kerjasama strategik bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam memperkasa fungsi institusi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat pembangunan komuniti dan kegiatan ekonomi setempat.
Melalui inisiatif tersebut, pihak pengurusan Sedcovest menyatakan komitmen untuk membantu usahawan tempatan memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan dalam penyediaan premis perniagaan yang lebih inklusif dan kondusif, termasuk di kawasan institusi masjid yang mempunyai potensi besar sebagai hab ekonomi komuniti.
Datuk Redonah Bahanda berkata, pendekatan bersepadu seperti ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada peniaga kecil dan usahawan baharu untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih tersusun dan strategik.
“Kita mahu melihat lebih banyak ruang dan peluang diwujudkan untuk membantu perniagaan tempatan, khususnya usahawan baharu, agar mereka dapat berkembang dan memanfaatkan inisiatif kerajaan yang disediakan. Institusi masjid juga mempunyai potensi besar untuk berfungsi sebagai pusat pembangunan ekonomi komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama bersama MUIS ini selari dengan aspirasi untuk mengimarahkan institusi masjid melalui pendekatan yang lebih holistik dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat.
Siri lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sedcovest dalam meneroka peluang pembangunan strategik, memperkukuh jaringan kerjasama bersama agensi berkaitan serta memastikan inisiatif pembangunan yang dirancang memberi impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.