KUNAK 19 MEI – Siri lawatan kerja telah diadakan ke premis perniagaan di daerah Kunak bagi meninjau potensi pembangunan dan cadangan menaik taraf kemudahan sedia ada.
Lawatan ini turut membawa Pengerusi bersama pengurusan Sedcovest Holdings Sdn Bhd untuk melihat sendiri keadaan premis yang dikenal pasti mempunyai lokasi strategik serta berpotensi tinggi untuk dimajukan selaras dengan keperluan semasa.
Cadangan naik taraf ini bertujuan memastikan premis perniagaan tersebut lebih relevan dan kompetitif, selain memenuhi permintaan semasa dalam ekosistem keusahawanan tempatan. Lokasi strategik premis ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada usahawan mikro dan kecil.
Dalam masa yang sama, pembangunan semula dan penambahbaikan ini juga dijangka dapat membantu melonjakkan Kunak sebagai salah satu pusat tumpuan ekonomi dan destinasi persinggahan pelancong domestik serta luar, sekali gus memperkukuh daya tarikan kawasan tersebut.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan dalam merancang pembangunan premis perniagaan yang lebih mampan, berimpak tinggi dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.