SEDCOVEST SERTAI TLDM JAYAKAN BORNEO ULTRA BEACH CLEAN UP 2025

Sedcovest dengan bangganya menzahirkan sokongan penuh terhadap Program CSR anjuran KD Tun Razak, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Borneo Ultra Ocean Clean Up (BUOC) Siri Ke-4 yang telah berlangsung pada 13 September 2025 (Sabtu) di Pantai Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Angkatan Kapal Selam TLDM (AKAS TLDM) yang dilaksanakan sejak tahun 2022, dengan objektif utama memupuk kerjasama erat antara AKAS TLDM dan agensi-agensi utama di Sabah dalam usaha mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.
Seperti edisi-edisi sebelumnya, BUOC 2025 mengekalkan konsep pembersihan pantai dan dasar laut di sekitar perairan Kota Kinabalu – kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sebagai syarikat yang turut beroperasi berhampiran pantai, khususnya di Anjung Selera Tanjung Lipat, Sedcovest menyahut seruan ini dengan menghantar seramai 22 orang staf bagi menyertai misi kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Turut hadir mewakili pengurusan ialah En. Cannisius Ebin Gon, Pengurus Sumber Manusia & Pentadbiran.
Hasil usaha sukarelawan amat membanggakan apabila sejumlah 5.263 tan sisa berjaya dikutip daripada kawasan pantai dan dasar laut. Angka ini mencerminkan seriusnya cabaran pencemaran marin, namun pada masa yang sama membuktikan keupayaan untuk membawa perubahan positif apabila pelbagai pihak bersedia berganding bahu bagi mencapai matlamat murni.
Sedcovest percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja membersihkan pesisir pantai, malah turut menyemai kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.