Komitmen untuk memperkasa usahawan Bumiputera akan terus menjadi fokus utama Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (Sedcovest) meskipun berdepan dengan jangkaan persekitaran ekonomi yang lebih mencabar dalam tahun-tahun mendatang. Malah, Sedcovest akan terus mempergiat pelaksanaan modul-modul keusahawanan yang lebih segar, dinamik dan relevan, selari dengan keperluan kelompok sasar serta tuntutan ekonomi semasa yang semakin kompetitif, ujar Pengerusinya, Datuk Redonah Bahanda.
Tambah beliau, Sedcovest sentiasa berusaha menyediakan landasan yang kondusif kepada usahawan baharu mahupun usahawan sedia ada, khususnya melalui penyediaan program latihan berkualiti, bimbingan perniagaan yang berstruktur serta kemudahan premis perniagaan yang bersesuaian — sama ada untuk memulakan perniagaan, mengembangkan potensi ataupun memperkukuh operasi sedia ada.
Menurut Datuk Redonah lagi, perubahan minda dalam kalangan usahawan Bumiputera merupakan kunci utama kepada kelestarian perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang bergerak pantas dan semakin berasaskan teknologi pada masa kini. “Kita perlu terus berusaha mengubah kerangka pemikiran dalam kalangan usahawan Bumiputera daripada mentaliti subsidi dan pasif kepada mentaliti berdikari, produktif dan berdaya saing. Segala usaha serta bantuan yang disediakan oleh Kerajaan perlu dimanfaatkan secara optimum,” tegas beliau.
Antara program utama yang bakal dilaksanakan oleh Sedcovest pada tahun 2026 termasuk pembangunan usahawan baharu, pemerkasaan usahawan mikro, program pensijilan Halal dan MeSTI bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan, pemerkasaan PMKS dalam sektor perkhidmatan, serta pembangunan kemahiran wanita dalam bidang-bidang terpilih.
Sedcovest juga akan meneruskan pelaksanaan kursus-kursus yang berorientasikan pasaran seperti Bengkel AI Video Kreatif, selain program bersifat strategik seperti Kursus Penetapan Harga Produk dan Pengurusan Kos bagi membantu usahawan meningkatkan kecekapan pengurusan perniagaan.
Melalui pendekatan yang lebih strategik, tersusun dan berfokus, Sedcovest yakin program-program yang dirancang mampu menyumbang kepada pembentukan komuniti usahawan Bumiputera tempatan yang lebih kompeten, berdaya tahan dan berwibawa dalam mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.
#sedcovest #usahawanbumiputera #PembangunanUsahawan #PensijilanHalal