SEDCOVEST RAKAM PENGHARGAAN KEPADA MANTAN PENGERUSI, SAMBUT KEPIMPINAN BAHARU DAN LANCAR PIP ANJUNG SELERA

KOTA KINABALU, 10 Februari 2026 – Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (Sedcovest) hari ini meraikan Majlis Apresiasi dan Alu-aluan Pengerusi sempena tamatnya perkhidmatan YBhg. Datuk Rubbin Guribah sebagai Pengerusi Sedcovest, di samping mengalu-alukan pelantikan Pengerusi Baharu, YBhg. Datuk Redonah Bahanda.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Redonah Bahanda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Rubbin Guribah atas dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun menerajui Sedcovest, khususnya dalam memperkukuh asas pertumbuhan syarikat berlandaskan legasi kepimpinan terdahulu
Menurut beliau, Sedcovest sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memikul tanggungjawab besar untuk mencipta nilai bukan sahaja dari aspek sosial dan pembangunan usahawan, malah dari sudut prestasi kewangan serta keupayaan menjana pendapatan yang mampan selaras dengan ekspektasi Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, YBhg. Datuk Redonah menegaskan keperluan untuk mengoptimumkan penggunaan aset secara strategik bagi memastikan setiap aset yang dimiliki memberi pulangan dan impak sebenar kepada organisasi.
Selari dengan hasrat tersebut, Sedcovest turut melaksanakan soft launching Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera Likas, sebuah inisiatif baharu yang diwujudkan bagi memenuhi permintaan para usahawan terhadap premis perniagaan yang fleksibel dan lebih ekonomik di sekitar bandaraya Kota Kinabalu.
PIP Anjung Selera merupakan outlet ketiga selepas PIP Wisma SEDCO dan dibangunkan sebagai platform sokongan keusahawanan yang lebih relevan dengan landskap perniagaan semasa, selari dengan keperluan usahawan yang kini lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing.
“PIP Anjung Selera diwujudkan bukan sekadar untuk menyediakan ruang perniagaan, tetapi sebagai ekosistem yang menawarkan peluang, sokongan dan dorongan kepada usahawan untuk berkembang,” kata beliau, sambil menyuarakan harapan agar pusat ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kisah kejayaan baharu.
Mengakhiri ucapannya, YBhg. Datuk Redonah menyeru seluruh Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja Sedcovest agar bergerak seiring sebagai satu pasukan dalam mendepani cabaran semasa serta membina masa depan Sedcovest yang lebih kukuh, berintegriti dan berimpak kepada negeri serta masyarakat.