SEDCOVEST CENTRE OF EXCELLENCE ANJUR PROGRAM SULUNG PENGURUSAN RISIKO RASUAH
KOTA KINABALU, 18 Ogos 2026 – Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (SVH) menerusi Sedcovest Centre of Excellence telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah atau Corruption Risk Management (CRM) pada 17 dan 18 Ogos 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Program yang disertai oleh 27 peserta terdiri daripada kakitangan SEDCO, Sedcovest dan syarikat-syarikat dalam Kumpulan SEDCO itu telah dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk TPj Mohd. Fuad Bee bin Haji Basrah.
Sepanjang bengkel selama dua hari tersebut, para peserta didedahkan kepada kaedah mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko rasuah, pembangunan daftar risiko serta perancangan langkah kawalan dan rawatan risiko. Program ini turut menekankan aspek tadbir urus, integriti, pemantauan dan penambahbaikan berterusan dalam organisasi.
Bengkel CRM ini merupakan program latihan sulung yang dikendalikan oleh Sedcovest Centre of Excellence. Penubuhannya bertujuan memenuhi keperluan latihan sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program latihan terbuka serta latihan dalaman yang disesuaikan mengikut keperluan organisasi.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas penyertaan dan komitmen mereka dalam menjayakan program berkenaan.