Protune Kukuhkan Budaya Keusahawanan di Kalangan Pelajar
Kota Kinabalu, 30 April 2024 – Program Tunas Niaga (PROTUNe) terus memperkukuh peranannya dalam membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah melalui penganjuran PROTUNe 2024 yang merupakan edisi ke-28 sejak diperkenalkan pada 1997.
Konvensyen bagi program tersebut yang meraikan pencapaian sekolah-sekolah terlibat dalam pelbagai kategori untuk tahun 2024 diadakan baru-baru ini di Kota Kinabalu dan telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
Datuk Andi Muhammad Suryandy dalam ucapannya menekankan bahawa PROTUNe bukan hanya medan latihan perniagaan malah landasan pembinaan jati diri, kepimpinan dan daya saing pelajar. Beliau turut memuji kejayaan syarikat-syarikat pelajar yang terlibat tahun lalu yang berjaya mencatat jualan keseluruhan sebanyak RM1.4 juta dan keuntungan bersih RM313,957 dalam tempoh sembilan bulan — suatu pencapaian membanggakan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
“Kejayaan ini jelas membuktikan potensi besar pelajar Sabah dalam bidang keusahawanan,” katanya sambil merakamkan penghargaan di atas peranan dan usaha gigih yang dimainkan oleh Sedcovest Holdings Sdn Bhd dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam membudayakan keusahawanan di peringkat akar umbi. Beliau memberi jaminan bahawa pihak Kementerian akan terus menyokong program murni tersebut melalui peruntukan pembangunan keusahawanan tahunan bagi memastikan kesinambungan pelaksanaannya dan menyebar luas manfaatnya kepada golongan sasar.
Sementara itu, Pengerusi Sedcovest, Datuk Rubbin Guribah dalam ucapan alu-aluannya berkata PROTUNe yang telah dilaksanakan hampir tiga dekad telah mewujudkan rangkaian alumni yang sebahagiannya telah menceburi dunia perniagaan sebenar pada hari ini. Beliau menegaskan komitmen Sedcovest untuk meneruskan program pendedahan keusahawanan kepada generasi muda selaras dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan usahawan masa hadapan yang berdaya saing dan sedia berdikari.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datu Asrah bin Datok Ambas; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah dan Tuan Hj Azrul Ahmad, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO.
PROTUNe merupakan program pembudayaan keusahawanan yang memberi pendedahan dunia perniagaan secara lebih praktikal kepada pelajar melalui penubuhan dan pengoperasian syarikat di sekolah selama sekitar 9 bulan. Selain penerapan selok-belok pentadbiran dan pengurusan perniagaan termasuk aspek kewangan dan pemasaran, aktiviti pelajar sepanjang tempoh berkenaan turut dipandu oleh pegawai-pegawai pembimbing dari kalangan syarikat Kumpulan SEDCO serta guru pembimbing di sekolah masing-masing.
Pelaksanaan PROTUNe pada setiap tahun melibatkan sekitar 40 buah sekolah di seluruh Sabah dengan penyertaan lebih 1,000 pelajar dan 80 guru pembimbing. Konvensyen PROTUNe diadakan secara tahunan bagi menilai dan memberi pengiktirafan kepada pencapaian syarikat sekolah yang terlibat dalam tahun berkenaan dalam pelbagai kategori termasuk kualiti produk / perkhidmatan, pengurusan syarikat, pengoperasian kiosk dan penyediaan laporan syarikat.
Sehingga kini, PROTUNe telah memberi manfaat pendedahan kepada bidang keusahawanan kepada lebih 28,000 orang pelajar.