Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan untuk wanita B40 sekitar Daerah Kudat & Kota Marudu dilancarkan hari ini, 10 September 2024 di Langkon, Kota Marudu. Projek selama setahun yang merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat Hibiscus Petroleum Berhad dengan kerjasama Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. itu bertujuan membantu meningkatkan pendapatan komuniti setempat melalui latihan kemahiran jahitan. Melalui projek ini para peserta berpeluang untuk memulakan perniagaan sendiri dan menjana pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup ke arah yang lebih baik.
Majlis telah dirasmikan oleh Edmund Ang, Ketua Operasi Hibiscus Petroleum Sabah. Turut hadir ialah Pengurus Besar Sedcovest , Abd Rahim Md Zain, Penasihat Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum, Datuk Eddie Abdullah dan para pegawai Sedcovest.
Selain pelancaran, turut berlangsung pada majlis tersebut adalah pemeteraian memorandum kerjasama di antara Hibiscus Petroleum dan Sedcovest serta lafaz ikrar Aku Janji oleh 20 orang peserta terpilih dari sekitar Kudat dan Kota Marudu sebagai komitmen kepada program selama setahun tersebut.
Ia akan disusuli beberapa siri pemantauan secara berkala, bimbingan dan penilaian kemajuan peserta. Satu majlis penutupan akan diadakan pada penghujung program kelak di mana hadiah pengiktirafan akan diberikan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang.