POLISI ADUAN INTEGRITI

Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SVH) telah mewujudkan Polisi Aduan Integriti yang
bertujuan untuk mendorong kakitangan SVH atau orang awam untuk melaporkan
sebarang aduan berkaitan pelanggaran integriti.
Bagi memenuhi keperluan polisi ini, SVH telah mewujudkan Saluran Aduan Integriti
sebagai saluran untuk kakitangan SVH dan orang awam membuat aduan integriti.

OBJEKTIF POLISI

Polisi ini bertujuan untuk memberi ruang kepada kakitangan SVH, pihak berkepentingan
atau orang awam untuk membuat aduan berkaitan pelanggaran integriti yang
merangkumi salahlaku jenayah rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan serta
pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.
Polisi ini menerangkan tentang hak dan tanggungjawab serta perlindungan kepada
pemberi maklumat.

SKOP POLISI

Polisi ini terpakai kepada:
a) Semua kakitangan SVH, yang merangkumi Pengurusan Tertinggi SVH, serta
Pengurus Bahagian SVH;
b) Semua pembekal atau kontraktor yang sedang atau akan berurusan dengan
SVH;
c) Pelanggan SVH; dan
d) Orang Awam;

Polisi ini merangkumi kesalahan seperti berikut:

a) Salahguna kuasa;

b) Rasuah (Memberi / Menerima / Menawar / Meminta);

c) Tidak patuh waktu kerja;

d) Penyalahgunaan dadah;

e) Keluar negara tanpa kebenaran;

f) Pengurusan kewangan yang tidak cekap

g) Tidak jujur / Tidak amanah / Tidak bertanggungjawab;

h) Membuat tuntutan palsu;

i) Pembocoran / Penyalahgunaan rahsia kerajaan / Maklumat terperingkat;

j) Penyelewengan harta kerajaan / syarikat bagi tujuan peribadi.

POLISI

Siasatan
Sebarang aduan yang dilaporkan melalui saluran yang disediakan akan disiasat
dengan telus dan adil berdasarkan Prosedur Pengurusan Aduan Integriti SVH.

Jaminan Perlindungan Daripada Tindakan Balas
a) Pemberi maklumat tidak boleh dikenakan tindakan balas jika sesuatu aduan
atau maklumat yang dikemukakan adalah tidak benar tanpa niat untuk
menjatuhkan atau merosakkan nama baik individu atau organisasi.
b) Antara contoh tindakan balas:
i. Tindakan disiplin;
ii. Penurunan jawatan;
iii. Pertukaran penempatan;
iv. Penilaian prestasi tahunan;
v. Penggantungan atau penamatan perkhidmatan; atau
vi. Ancaman untuk melakukan mana-mana tindakan diatas.
c) Jika terdapat mana-mana kakitangan SVH yang mengenakan tindakan balas
terhadap pemberi maklumat, SVH boleh mengenakan tindakan tatatertib kepada
kakitangan tersebut.
d) Pemberi maklumat dilindungi berdasarkan peruntukan yang terdapat di dalam Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) iaitu:-
i. Melindungi maklumat sulit;
ii. Imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah; dan
iii. Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan.
Perlindungan akan digugurkan jika didapati pemberi maklummat juga terlibat
dalam kelakuan tidak wajar, atau jika pemberi maklumat didapati membuat
pendedahan dengan niat jahat.

Pengadu / Pemberi Maklumat
a) Pengadu / pemberi maklumat membuat pendedahan dengan niat baik.
b) Pengadu / pemberi maklumat secara munasabah percaya bahawa maklumat dan
dakwaan itu adalah benar.
c) Pengadu / pemberi maklumat tidak bertindak utnuk kepentingan peribadi. Jika kes
itu melibatkan kepentingan peribadi pengadu, ia mesti dimaklumkan dari awal.
Jaminan Kerahsiaan Maklumat
Hanya Pengerusi Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) atau Ketua IGU dan
pegawai yang menjalankan siasatan (Pegawai Penyiasat) sahaja yang dibenarkan
untuk mempunyai akses kepada segala maklumat peribadi dan butiran aduan yang
dikemukakan.

SALURAN ADUAN INTEGRITI

Jika terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi integriti yang melibatkan staf SVH,
laporan boleh disampaikan kepada Ketua Unit Integriti SVH melalui kaedah-kaedah
berikut:

a. Berjumpa dengan Ketua Unit Integriti dan Governans; atau
b. Hubungi 088-266451 / 452 atau
c. E-mel ke integriti.sedcovest@gmail.com ; atau
d. Salurkan aduan ke peti aduan SVH – Salah Laku Integriti dengan mengisi
borang A – Aduan Salah Laku; atau
e. Surat Aduan ke alamat berikut:

                                                                                         Unit Integriti & Governans (IGU)
                                                                                        Sedcovest Holdings Sdn. Bhd.
                                                                                       Tingkat 3, Wisma Sedco
                                                                                      Off Coastal Highway, 88000, Kota Kinabalu, Sabah