Kelompok pertama peserta Program Persijilan Halal & MeSTI Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) Sabah yang dibiayai Kementerian Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan (MIDE) bagi tahun 2024 telah berjaya memperoleh pengiktirafan Halal bagi produk masing-masing pada suku kedua 2025.
Kejayaan ini bukan sahaja memberi nilai tambah yang signifikan kepada produk-produk tempatan, malah turut meningkatkan kebolehpasaran, memperkukuh keyakinan pengguna serta membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran yang lebih kompetitif.
Lima peserta kelompok pertama yang berjaya ialah syarikat Keropok Lekor A1 Trading (Papar) – produk keropok lekor sejuk beku; Lados Sdn Bhd (Kota Kinabalu) – sambal ikan masin, bilis, belacan & tuhau; Aura Marine Borneo Sdn Bhd (Pitas) – ikan bilis berpek; AR Food Industrial Sdn Bhd (Kota Kinabalu) – kerepek pisang & ubi kayu; dan Dir Rich Global Sdn Bhd (Penampang) – aneka Kek Lapis.
Majlis penyampaian rasmi sijil telah diadakan pada 17 September lalu di Tawau, bersempena Sesi Libat Urus Usahawan Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang disempurnakan Pembantu Menteri MIDE, Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy.
Program ini dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) melalui anak syarikatnya, Sedcovest Holdings Sdn Bhd, sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu pengusaha tempatan memperkukuh daya saing produk, meningkatkan pematuhan piawaian kebersihan & keselamatan makanan serta memantapkan imej perniagaan.
Peserta yang layak menerima pelbagai insentif strategik termasuk bimbingan teknikal, kursus berkaitan persijilan, serta sokongan renovasi premis bagi memenuhi keperluan pensijilan. Proses perolehan Halal & MeSTI yang mengambil masa sekitar enam bulan itu memerlukan komitmen tinggi para peserta, khususnya dalam aspek penyediaan dokumentasi, renovasi, audit lapangan dan tindakan pembetulan.
Walaupun berdepan dengan cabaran seperti tempoh proses awalan permohonan yang panjang, kekangan kewangan, dokumentasi yang terperinci serta kedudukan geografi di kawasan luar bandar, usahawan terbabit ternyata berjaya menyesuaikan diri dengan keperluan pensijilan. Para peserta turut mengakui bahawa pensijilan ini mendorong kepada peningkatan tahap kebersihan, kawalan kualiti dan keyakinan dalam pengurusan operasi.
Kejayaan kelompok pertama ini menjadi bukti bahawa dengan kesungguhan syarikat peserta serta sokongan menyeluruh Kerajaan, PMKS Sabah mampu melonjak ke tahap lebih tinggi.
Kini, pelaksanaan kelompok kedua telah bermula sejak Julai 2025 dengan penyertaan lima lagi syarikat. Sejajar dengan tekad Kerajaan untuk terus memperkasa usahawan, dana program juga telah ditingkatkan di bawah RMK13 (2026–2030) dengan sasaran 50 peserta, sekali gus memastikan lebih ramai usahawan Sabah dapat menikmati manfaat program ini.