KOTA KINABALU, 8 April 2026 – Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah, telah mengadakan lawatan ke Anjung Selera Tanjung Lipat bersama barisan pengurusan Sedcovest bagi meninjau operasi dan kemudahan premis tersebut yang diuruskan oleh Sedcovest.
Terletak di kawasan strategik bandar Kota Kinabalu, Anjung Selera Tanjung Lipat merupakan antara lokasi tumpuan utama orang ramai, termasuk pelancong, untuk menikmati pelbagai juadah tempatan dalam suasana yang selesa, santai serta berlatarbelakangkan pemandangan indah Laut China Selatan. Premis ini telah melalui proses pembangunan semula yang siap sepenuhnya pada tahun 2019, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan ini sebagai destinasi makanan dan rekreasi.
Lawatan ini turut memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk berkongsi perkembangan semasa serta potensi penambahbaikan bagi memastikan Anjung Selera terus relevan dan berdaya saing.
Dalam lawatan tersebut, Datuk Masiung Banah menyatakan harapan agar usaha menaik taraf dan memperkasa premis ini dapat diteruskan, dengan penekanan kepada pengwujudan suasana yang lebih vibrant dan dinamik. Beliau turut menekankan kepentingan menonjolkan keunikan makanan tempatan serta budaya Sabah sebagai identiti utama lokasi ini.
Selain itu, inisiatif penambahbaikan ini juga dilihat mampu memberi impak positif kepada pembangunan usahawan Bumiputera, khususnya dalam menyediakan lebih banyak peluang perniagaan serta memperkukuh keupayaan mereka dalam sektor makanan dan hospitaliti.
SEDCO melalui Sedcovest komited untuk terus memperkasa aset-aset strategik seperti Anjung Selera Tanjung Lipat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta platform bagi mengetengahkan warisan kulinari Sabah ke tahap yang lebih tinggi.