20 Feb 2026, Kota Kinabalu, Sabah — YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan & Pengangkutan (MINDET) baru-baru ini telah menghadiri sesi taklimat operasi Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SVH) di Wisma SEDCO, Kota Kinabalu.
Taklimat berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai hala tuju, peranan dan prestasi Sedcovest Holdings Sdn Bhd dalam menyokong pertumbuhan usahawan tempatan di Sabah.
Sesi taklimat yang disampaikan Pengurus Besar, Abd. Rahim Md. Zain merangkumi objektif penubuhan syarikat, hala tuju strategik serta prestasi semasa Sedcovest dalam memperkasa pembangunan keusahawanan. Pembentangan tersebut turut menyentuh inisiatif, isu dan cabaran serta perancangan masa hadapan syarikat bagi memastikan impak yang lebih mampan kepada ekosistem keusahawanan negeri.
Abd Rahim turut menyatakan harapan agar sokongan berterusan daripada pihak kementerian dapat diteruskan bagi memperkukuh lagi peranan syarikat dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing dan berdaya tahan.
Sementara itu, Datuk Ewon dalam ucapannya mengalu-alukan usaha dan pencapaian yang telah dilaksanakan oleh Sedcovest setakat ini. Beliau turut berharap agar SVH dapat terus meningkatkan prestasi, memperkukuh tadbir urus serta memperluaskan impak program dan inisiatif yang dilaksanakan, sejajar dengan aspirasi kementerian untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan yang inklusif dan mampan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keusahawanan) MINDET, Pn. Moira David, Pengerusi Sedcovest, Datuk Redonah Bahanda, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan, Puan Nor’ain Abdullah, dan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk AR James Wong Kein Peng.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan MINDET dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi dan syarikat berkaitan kerajaan bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi dan keusahawanan negeri Sabah.