Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (SVH) telah menerima kunjungan daripada delegasi USAHANITA Negeri Kedah bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan usahawan wanita, khususnya dalam sektor pemprosesan makanan dan perkhidmatan automotif. Kunjungan ini turut bertujuan meninjau premis industri ringan untuk cadangan pembukaan kilang pemprosesan kicap dan perniagaan bidang automotif, yang dilihat berpotensi tinggi untuk mewujudkan peluang pekerjaan, memperluas pasaran, dan meningkatkan jaringan perniagaan diantara negeri Sabah dan Kedah.
Perbincangan turut memberi fokus kepada model sokongan yang dapat ditawarkan oleh SVH bagi membantu para usahawan memperkukuh kapasiti, termasuk khidmat nasihat, fasiliti perniagaan, dan akses kepada rangkaian pemasaran. Inisiatif ini seiring dengan aspirasi Sedcovest untuk menjadi rakan strategik yang proaktif dalam memajukan ekosistem keusahawanan tempatan.
Delegasi yang hadir terdiri daripada Pn. Noraini binti Sulong, Pengerusi USAHANITA Negeri Sabah, Pn. Norinah, Ketua Daerah USAHANITA Kota Marudu, Pn. Mollen, AJK USAHANITA Kota Marudu, Datin Shasha Abdul Rahman, Bendahari USAHANITA Kedah dan Pn. Patimah Sulai, Pengerusi Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia Cawangan Negeri Kedah yang telah menyampaikan sedikit taklimat berkenaan USAHANITA Negeri Kedah.
Rombongan telah disambut oleh Pn. Hajah Jamilah Yunus, Pengurus Pembangunan Usahawan SEDCO, En. Suhaili Wahap, Eksekutif Pembangunan Usahawan SVH dan pegawai-pegawai kanan SVH.