9 April 2026 – Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Sabah International Convention Centre (SICC), disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, YB Datuk Ewon Benedick, serta barisan kepimpinan negeri.
Dalam majlis tersebut, Pengurus Besar Sedcovest, Yahyah Sidek telah menerima penyerahan projek pembangunan semula Anjung Selera Tanjung Lipat, Likas. Projek bernilai RM13.5 juta ini merupakan kerjasama strategik antara TERAJU, SEDCO melalui Sedcovest Holdings Sdn Bhd, serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Pembangunan semula ini merangkumi pembinaan premis perniagaan moden di atas keluasan 2.47 ekar dengan pelbagai kemudahan seperti unit gerai makanan moden, kiosk serbaneka, ruang peruncitan, ruang serbaguna, pentas terbuka, serta kemudahan awam termasuk surau, tandas dan tempat letak kenderaan.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan pusat perniagaan yang lebih selesa dan teratur kepada usahawan Bumiputera dalam sektor makanan, peruncitan dan perkhidmatan, di samping menyokong pertumbuhan industri pelancongan tempatan.
Pembangunan ini juga menjadi mercu tanda keusahawanan Bumiputera di kawasan bandaraya serta memperkukuh ekosistem ekonomi setempat secara mampan.