Kemahiran yang digabungkan dengan ilmu keusahawanan mampu menjadi asas kukuh dalam menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan. Selaras dengan matlamat ini, Sedcovest terus memperluas peranannya dalam mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, khususnya kepada lepasan teknikal dan vokasional.
Terbaharu, Sedcovest telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut pada 12 Ogos 2025 bertempat di Bilik Inovasi IKBN Kinarut. MoU ini ditandatangani oleh Pengarah IKBN Kinarut, Puan Zuarini Jumai dan Pengurus Besar Sedcovest, Abd Rahim Md Zain.
Melalui kerjasama ini, beberapa inisiatif dirancang termasuk program keusahawanan untuk alumni dan pelajar akhir, latihan peningkatan kompetensi untuk kakitangan teknikal Sedcovest, penglibatan tenaga pengajar IKBN dalam program keusahawanan Sedcovest, serta penempatan latihan industri pelajar.
Selain Sedcovest, majlis turut menyaksikan pemeteraian MoU antara IKBN Kinarut dengan Gaya Centre Hotel & Energy Service Innovation (Borneo) Sdn Bhd.
Dalam ucapannya, Puan Zuarini menegaskan keyakinannya terhadap impak positif kerjasama ini terhadap kebolehpasaran graduan TVET, sambil menyifatkannya sebagai komitmen jangka panjang untuk membina masa depan belia berkemahiran tinggi.
Usaha ini mencerminkan strategi IKBN Kinarut dalam memperkukuh hubungan dengan industri, demi memperkasa latihan kemahiran, pembangunan profesional dan penyediaan peluang latihan industri kepada para pelajarnya.