AKTA PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT 2010 (AKTA 711) (WHISTLEBLOWER ACT)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711]?
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] ialah akta yang baru digubal bagi
memperuntukkan perlindungan terhadap pemberi maklumat yang telah mendedahkan sesuatu
kelakuan tidak wajar. Sebagai contoh, sekiranya seseorang Pemberi Maklumat itu mendedahkan
kesalahan rasuah majikan atau rakan mereka sendiri di tempat kerjanya, maka beliau berhak untuk
mendapatkan perlindungan di bawah akta ini.

2. Apakah perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat?
Perlindungan yang diberikan merangkumi tiga perkara seperti berikut:

i. Perlindungan maklumat sulit. Sebagai contoh, maklumat mengenai identiti, pekerjaan, alamat
kediaman, tempat pekerjaan dan lain-lain;

ii. Kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah yang cuba dikenakan terhadap pemberi
maklumat. Sebagai contoh, seseorang pemberi maklumat, tidak boleh disaman
atau didakwa oleh pihak yang telah didedahkan kelakuan tidak wajarnya; dan

iii. Perlindungan terhadap tindakan yang memudaratkan. Sebagai contoh, seorang pemberi
maklumat telah memberi maklumat mengenai perbuatan rasuah majikannya. Jika majikannya
ingin mengambil tindakan balas seperti membuang kerja, maka pemberi maklumat itu adalah
dilindungi dibawah akta ini.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan kelakuan tidak wajar?
Kelakuan tidak wajar bermaksud suatu kesalahan yang boleh terjumlah kepada kesalahan tatatertib
atau kesalahan jenayah.

Kesalahan tatatertib bermaksud tindakan yang melanggar tatatertib dalam badan awam atau badan
swasta.

Kesalahan tersebut hendaklah diperuntukkan oleh undang-undang atau dalam suatu tata laku,kod
etika atau pekeliling atau kontrak kerja. Manakala kesalahan jenayah pula adalah kesalahan yang
telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang jenayah Negara ini seperti Kanun
Keseksaan.

4. Apakah pula yang dimaksudkan dengan tindakan yang memudaratkan?

Tindakan yang memudaratkan termasuklah perbuatan mencederakan, ugutan, gangguan,
diskriminasi, penamatan perkhidmatan, gantung kerja, ancaman atau apa sahaja yang menyebabkan
kerugian yang disebabkan oleh mana-mana orang ke atas pemberi maklumat.

5. Kepada siapakah Akta ini terpakai?

Akta ini terpakai oleh mereka yang berada dalam sektor awam dan swasta. Semua badan, agensi
dan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan,
badan berkanun dan badan swasta seperti syarikat adalah tertakluk kepada pemakaian Akta ini.

6. Bilakah pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta ini dan adakah pembatalan boleh
dilakukan terhadap perlindungan yang telah diberikan?

Pada saat pemberi maklumat mendedahkan kelakuan tidak wajar (aduan), dia sudah menikmati
perlindungan dibawah Akta ini. Perlindungan ini akan kekal selama-lamanya kecuali dibatalkan di
bawah seksyen 11 Akta ini. Antara sebab-sebab pembatalan perlindungan adalah :
 
i. pemberi maklumat sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar itu;

ii. pemberi maklumat sengaja membuat pernyataan palsu;

iii. pendedahan adalah remeh atau menyusahkan;

iv. pendedahan mempersoalkan merit dasar Kerajaan;

v. pendedahan dibuat semata-mata untuk mengelak daripada dibuang kerja / tindakan tatatertib
yang lain; dan

vi. pemberi maklumat telah melakukan kesalahan di bawah Akta ini.

7. Sekiranya saya mempunyai maklumat mengenai kelakuan tidak wajar mengenai majikan saya,
siapakah atau di mana saya perlu mendedahkan maklumat tersebut? Bolehkah saya
mendedahkan melalui e-mel, telefon atau surat?

Pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada mana-mana agensi
penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysa (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya.

Agensi penguatkuasaan tidak akan menolak pendedahan tersebut atas dasar “no wrong door
policy”.

Mengikut Akta ini, pendedahan boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Pegawai yang diberi kuasa
hendaklah mengubahnya ke dalam bentuk bertulis. Pendedahan boleh dibuat secara e-mel, telefon
atau surat tetapi tetap perlu hadir untuk pengesahan.

Untuk melindungi pemberi maklumat tersebut, pegawai yang diberi kuasa akan menghubungi
pemberi maklumat untuk menghadiri temujanji supaya perlindungan di bawah Akta ini dapat
dilaksanakan.

8. Apakah remedi yang boleh dituntut oleh seseorang pemberi maklumat sekiranya tindakan
memudaratkan telah dikenakan terhadapnya?

Pemberi maklumat dan orang yang mempunyai hubungan atau kaitan dengan pemberi maklumat
boleh menuntut remedi daripada mahkamah jika tindakan yang memudaratkan sebagai tindak balas
terhadap pendedahan kelakuan tidak wajar telah diambil atau pemberi maklumat bimbang tindakan
yang memudaratkanakan diambil terhadapnya. Remedi yang boleh dituntut oleh pemberi
maklumat:
 
i. Ganti rugi atau pampasan;
ii. Injunksi (tegahan); atau
iii. Relief lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

9. Bilakah Akta ini dikuatkuasakan?

Akta ini telah dikuatkuasakan pada 15 Disember 2010.