SVH KONGSI PERSPEKTIF INDUSTRI DALAM FORUM NEXTGEN TECH@MOSTI 2026

SVH KONGSI PERSPEKTIF INDUSTRI DALAM FORUM NEXTGEN TECH@MOSTI 2026
KOTA KINABALU, 21 September 2026 – Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SVH) telah dijemput oleh Sabah Empowerment & Technology Advancement Association (SETA) sebagai salah sebuah organisasi panel bagi Forum NEXTGEN TECH@MOSTI 2026 bertajuk “NEXTGEN: Are You Ready for the Industry of Tomorrow?” di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
SVH diwakili oleh Pengurus Besar, Yahyah Sidek, bersama dua lagi ahli panel, iaitu Khairee bin Mad Saad, Business Development Manager, SGS Malaysia, dan EB Johnson Gubod, Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Marrix Sdn. Bhd. dan Bonexus Sdn. Bhd. Forum tersebut dikendalikan oleh Dr. Jurry, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, UMS.
Dalam sesi berkenaan, Yahyah berkongsi perspektif industri berkaitan pembangunan keusahawanan serta kemahiran, kompetensi dan sikap yang diperlukan oleh graduan bagi menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan perniagaan masa hadapan.
Beliau turut mengetengahkan peranan SVH dalam pembangunan usahawan serta peluang latihan dan kerjasama industri yang berpotensi membantu golongan muda memperoleh pendedahan praktikal, di samping merapatkan jurang antara pembelajaran di kampus dengan keperluan sebenar industri.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen SVH dalam menyokong pembangunan bakat muda yang berdaya saing, celik teknologi dan bersedia meneroka keusahawanan sebagai salah satu laluan kerjaya masa hadapan.