KOTA KINABALU, 10 September 2026 – Bazaar Souq El-Madinah telah dirasmikan bersempena Majlis Perasmian Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah, di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (SVH) amat berbesar hati dan menjunjung kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama menyempurnakan perasmian premis tersebut. Perasmian ini amat signifikan kepada SVH memandangkan Tuan Yang Terutama merupakan Pengerusi pertama SVH ketika syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1995, sekali gus mencerminkan hubungan bersejarah beliau dengan penubuhan dan perkembangan syarikat.
SVH merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), khususnya Bahagian Wakaf, atas kepercayaan yang diberikan sepanjang lebih 15 tahun jalinan kerjasama usaha sama. Hubungan strategik ini menjadi asas penting dalam usaha memperkasa aset wakaf secara
produktif, sekali gus memberi manfaat kepada usahawan dan masyarakat.
SVH turut merakamkan penghargaan khas kepada YB Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah. Ketika menerajui SEDCO sebagai Pengerusi, beliau merupakan pencetus idea konsep bazar di dalam kawasan masjid serta individu yang menghubungkan SEDCO dan Sedcovest dengan MUIS bagi merealisasikan projek berimpak ini.
Bazaar Souq El-Madinah mula beroperasi pada November 2022 dan kini menempatkan seramai 55 penyewa yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan. Bazaar ini semakin berkembang sebagai pusat kegiatan komersial dan komuniti, dengan kunjungan warga kerja dari pejabat berhampiran serta penduduk di kawasan sekitar. Aktiviti di bazaar turut diimarahkan melalui penganjuran pelbagai majlis, program dan kursus di bilik serbaguna yang disediakan.
SVH berharap Bazaar Souq El-Madinah akan terus berkembang sebagai pusat keusahawanan berteraskan wakaf yang mampan, di samping mengimarahkan kawasan Masjid Negeri Sabah dan memperluas manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.