KOTA KINABALU, 3 September 2026 – Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (SVH), Yahyah Sidek, tampil sebagai salah seorang panel dalam sesi podcast Sembang Santai Wakaf bertajuk “Dari Wakaf ke Tangan Ummah: Pembangunan dan Agihan Manfaat”, bersempena dengan Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah 2026.
Sesi yang berlangsung di Wisma MUIS itu telah disiarkan secara langsung menerusi TikTok “Wakaf Sabah (Official)”, bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengahari.
Podcast tersebut membincangkan fungsi dan peranan Bahagian Wakaf, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), serta sumbangan SVH dalam membangunkan tanah wakaf agar dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
SVH telah menjadi rakan strategik MUIS selama lebih 15 tahun dalam usaha membangunkan premis bazar perniagaan di kawasan masjid. Sehingga kini, sebanyak tujuh buah bazaar telah dibangunkan, iaitu:
1. Bazaar Al-Mubarak, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu;
2. Bazaar Nurul Hikmah, Bukit Padang, Kota Kinabalu;
3. Bazaar Ar-Rahman, Ranau;
4. Souq El-Marwah, Masjid Sim-Sim, Sandakan;
5. R&R Kinabatangan;
6. Souq El-Madinah, Masjid Negeri Sabah; dan
7. Souq El-Mizan, Masjid Al-Kauthar, Tawau.
Pembangunan premis-premis ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf, malah menyediakan ruang perniagaan dan peluang menjana pendapatan kepada usahawan serta masyarakat setempat.
Bersempena dengan Sambutan Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sabah 2026, Majlis Perasmian Souq El-Madinah dan Souq El-Mizan turut dijadualkan berlangsung dan akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Aman.
Kerjasama berterusan antara SVH dan MUIS mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan aset wakaf dibangunkan secara strategik, berdaya maju dan memberi manfaat berpanjangan kepada ummah.
Daripada wakaf, manfaatnya kembali kepada ummah.