SEDCOVEST PERKUKUH KEPIMPINAN STRATEGIK DAN HALA TUJU KOMERSIAL
KOTA KINABALU, 21 Ogos 2026 – SEDCOVEST Holdings Sdn. Bhd. (SVH) terus memperkukuh keupayaan organisasi menerusi penganjuran Strategic & Commercial Leadership Talk, yang disertai oleh barisan pengurusan dan kakitangan SVH.
Program ini memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu pemikiran strategik, kecekapan komersial dan pertimbangan kewangan strategik sebagai asas dalam membentuk organisasi yang sentiasa relevan, tangkas menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa serta berupaya mendepani cabaran persekitaran perniagaan yang semakin dinamik.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi SEDCOVEST, Datuk Redonah Bahanda, yang mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi dalam memastikan seluruh warga SVH bergerak maju sebagai satu pasukan, dari peringkat kepimpinan hingga ke seluruh warga kerja.
Dalam mendepani perubahan landskap perniagaan, SVH perlu kekal relevan serta terus meningkatkan nilai organisasi bagi mencapai visi dan misinya. Seiring dengan aspirasi tersebut, warga SVH perlu mempunyai pemikiran yang lebih strategik dan memahami aspek komersial dalam setiap perancangan serta keputusan yang dibuat.
Pendekatan ini penting dalam usaha SVH memperkukuh komersalisasi, mengenal pasti peluang baharu, meningkatkan prestasi dan menjana nilai yang mampan, tanpa mengetepikan mandat pembangunan sosioekonomi yang menjadi teras organisasi.
Program ini juga menjadi platform untuk menyelaraskan pemikiran dan hala tuju seluruh warga SVH agar bergerak dengan matlamat yang sama dalam membawa organisasi ke tahap yang lebih kukuh dan kompetitif.