SEDCOVEST HOLDINGS SDN BHD JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA HRD CORP SABAH PERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN
TAWAU, 19 MEI – Sedcovest Holdings Sdn. Bhd. (Sedcovest), anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), mengumumkan kerjasama strategik bersama HRD Corp Sabah dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan daya saing tenaga kerja di negeri Sabah.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pembangunan bakat berimpak tinggi, peningkatan kemahiran industri serta pengoptimuman penggunaan dana latihan di bawah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), khususnya dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perusahaan tempatan di Sabah.
Melalui kolaborasi ini, Sedcovest akan berperanan sebagai pemudahcara dan pusat penyelarasan latihan (Centre of Excellence) dengan menyediakan platform pembangunan kompetensi, khidmat perundingan serta rangkaian tenaga pengajar yang terdiri daripada pakar industri, institusi pengajian tinggi dan penyedia latihan bertauliah HRD Corp.
Pengerusi Sedcovest, Datuk Redonah Bahanda berkata, kerjasama tersebut selari dengan aspirasi untuk menjadikan Sabah sebagai hab pembangunan bakat yang mampan, progresif dan berdaya saing.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan, malah membuka lebih banyak peluang kepada syarikat dan organisasi di Sabah untuk memanfaatkan dana HRD Corp secara lebih strategik demi meningkatkan produktiviti, daya saing dan kesiapsiagaan industri,” katanya semasa merasmikan Kursus Peningkatan Usahawan Mikro.
Beliau turut menegaskan bahawa Sedcovest akan terus komited memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif latihan dan pembangunan kapasiti demi membantu rakyat Sabah mencapai aspirasi serta meningkatkan potensi ekonomi mereka.
Sementara itu, HRD Corp Sabah menyambut baik kerjasama ini sebagai langkah strategik dalam memperluaskan capaian program pembangunan kemahiran kepada lebih banyak organisasi di Sabah, termasuk sektor GLC, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta industri utama negeri.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan, perkhidmatan, industri kreatif, serta bidang teknikal dan vokasional (TVET), selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi negeri Sabah.
Selain itu, inisiatif ini turut menyokong agenda nasional dalam memperkasakan tenaga kerja tempatan melalui latihan berstruktur, pensijilan profesional serta program peningkatan dan penyesuaian semula kemahiran (upskilling dan reskilling).
Sedcovest menyasarkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran secara berfasa dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang, dengan potensi manfaat yang lebih meluas kepada organisasi, industri dan tenaga kerja di seluruh Sabah.