SIRI LAWATAN RASMI PENGURUSAN & SEMAKAN PROJEK STRATEGIK SEDCOVEST 2026

KIMANIS – Siri lawatan rasmi pengurusan selama tiga hari bermula pada 18 Mei 2026 dengan lawatan tapak dan sesi semakan projek di R&R Kimanis yang beroperasi sebagai Semanis Hillside Cottage. Terletak di Batu 18, Lebuhraya Kimanis-Keningau, lokasi ini merupakan antara aset strategik yang mempunyai potensi besar dalam sektor hospitaliti dan pelancongan.
Lawatan ini dihadiri oleh Pengerusi Sedcovest, YBhg. Datuk Redonah Bahanda, Pengurus Besar Encik Yahyah Sidek, Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco (Perancangan & Pembangunan) Encik Suhaimi Untong, serta barisan pengurus dan pegawai kanan Sedcovest.
Sesi lawatan dan perbincangan memberi fokus kepada keadaan semasa operasi, kemudahan sedia ada serta cadangan penambahbaikan dan hala tuju pembangunan bagi memperkukuh potensi Semanis Hillside Cottage sebagai destinasi persinggahan strategik di laluan Kimanis-Keningau. Lawatan ini juga menjadi platform penting untuk pihak pengurusan menilai keperluan pembangunan dan perancangan masa depan sejajar dengan aspirasi syarikat dalam memperkasa aset dan menjana manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat.
Program lawatan ini akan diteruskan ke beberapa lokasi dan projek lain sepanjang tempoh tiga hari bagi membolehkan pihak pengurusan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status operasi, cabaran semasa serta potensi pembangunan yang dirancang.