SEDCO & SEDCOVEST MERANCAKKAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DI KARNIVAL USAHAWAN PMKS TENOM

3 MEI – Karnival Usahawan PMKS yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mei di Tenom telah menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan serta agensi kerajaan dalam usaha memperkasa ekosistem keusahawanan di Sabah. Karnival ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MINDET) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.
Sedcovest Holdings Sdn Bhd turut serta dalam karnival ini menerusi penyertaan booth di bawah SEDCO, sebagai platform untuk mendekati usahawan serta mempromosikan inisiatif pembangunan yang ditawarkan kepada komuniti PMKS.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, yang turut menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Sedcovest sebagai rakan strategik program. Karnival ini juga dijadualkan untuk diteruskan ke tiga daerah lain sepanjang tahun ini sebagai usaha berterusan memperluas impak kepada lebih ramai usahawan.
Sejak penubuhannya, Sedcovest komited dalam memacu pembangunan usahawan Bumiputera melalui pelbagai program peningkatan kapasiti. Dalam penyertaan kali ini, fokus turut diberikan kepada pelaksanaan program peningkatan yang membantu usahawan mendapatkan pensijilan halal dan MESTI—satu langkah penting sebagai pemudah cara untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan berdaya saing.
Melalui inisiatif sebegini, Sedcovest terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memperkasa usahawan tempatan agar lebih bersedia menghadapi cabaran dan peluang dalam landskap perniagaan masa kini.