MAJLIS PERASMIAN PROGRAM START-UP MOVE TRANSFORMASI BISNES PACU USAHAWAN BUMIPUTERA DI KOTA MARUDU

4 Mei – Program Start-Up Move Transformasi Bisnes Orang Kita, salah satu inisiatif kursus keusahawanan anjuran Sedcovest Holdings Sdn Bhd (SVH), telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Redonah Bahanda, Pengerusi SVH, dalam satu majlis yang berlangsung di Kota Marudu.
Program ini bertujuan memperkasa usahawan Bumiputera dengan kemahiran, pengetahuan serta pendedahan yang relevan bagi membuka peluang menceburi bidang perniagaan secara lebih berdaya saing dan berkekalan.
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Datuk Redonah Bahanda menyeru komuniti setempat agar memanfaatkan sepenuhnya program serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan melalui Sedcovest. Beliau menekankan bahawa dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan dan mengembangkan perniagaan, para usahawan perlu memiliki daya tahan yang tinggi serta sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran semasa.
Seramai 20 peserta yang terdiri daripada usahawan kecil dari daerah Kota Marudu, Pitas, Matunggong dan Beaufort telah menyertai program ini. Kesemua peserta turut menerima tablet sebagai sokongan pembelajaran digital. Sepanjang tempoh program dari 4 hingga 6 Mei, mereka akan dibimbing untuk membangunkan Business Model Canvas sebagai asas merancang dan memperkukuh model perniagaan masing-masing, selain melangkah kearah transformasi bisnes sedia ada.
Program Start-Up Move mencerminkan komitmen berterusan SVH dalam membangunkan ekosistem keusahawanan tempatan serta memperkukuh komuniti ke arah pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari.